Operasi dan Bantuan Misi Shinigami_(Bleach)

Shinigami dipertanggungjawabkan dengan pelbagai misi seperti pengebumian roh, berlawan dengan hollow dan macam-macam lagi. Kebanyakan daripada misi ini berlaku di dunia manusia. Semua shinigami kelas kapten dan leftenan akan dihadkan kuasa semangat mereka sebanyak 80 peratus ketika memasuki alam nyata (dilambangkan oleh azimat berbentuk simbol bahagian masing-masing) supaya tidak mempengaruhi keadaan persekitaran di sana. Dalam kes-kes tertentu yang memerlukan kuasa penuh mereka diaktifkan, peraturan ini boleh dihentikan buat sementara waktu.

Gigai

Oleh sebab sesetengah operasi memakan masa yang panjang, shinigami perlu mencari jalan untuk tinggal di alam nyata sehinggalah misi dapat diselesaikan. Hal ini kerana shinigami dalam bentuk roh tidak boleh berada di dunia manusia terlalu lama; mereka tidak dapat berinteraksi dengan manusia atau memulihkan kuasa semangat jika perlu. Maka, gigai dicipta bagi memenuhi keperluan shinigami.

Gigai (義骸) ialah badan tiruan yang membenarkan shinigami tinggal di dunia manusia dengan lebih lama. Walaupun gigai merupakan objek buatan, objek itu masih beroperasi seperti tubuh manusia yang sebenar. Tidak seperti tubuh shinigami, manusia biasa boleh melihat gigai.

Roh tiruan

Soul Candy

Roh tiruan (義魂丸, gikongan) ialah roh yang dicipta oleh saintis shinigami yang berfungsi untuk mengasingkan roh shinigami daripada gigainya (jika mereka sedang menggunakan gigai). Apabila ditelan, roh tiruan akan memaksa roh pengguna keluar dari badan dan beroperasi mengikut program yang ditentukan sehinggalah shinigami itu pulang ke tubuhnya. Biasanya, gikongan dipanggil sebagai "Soul Candy" kerana Organisasi Shinigami Wanita mengadu bahawa nama gikongan tidak comel dan perlu ditukar. Untuk disesuaikan dengan namanya, Soul Candy dibungkus di dalam bekas bergambar karektor-karektor kartun. Roh-roh tiruan nampaknya berkelakuan seperti watak-watak kartun; misalnya, versi kegemaran Rukia, Si Arnab Chappy, mempunyai personaliti yang hiiperaktif dan cuba memeluk Ichigo apabila mengawal gigai Rukia.

Roh modifikasi

Oleh sebab bilangan hollow jauh melebihi bilangan shinigami, projek roh modifikasi digerakkan untuk merapatkan jurang perbezaan tersebut. Roh modifikasi (改造魂魄, kaizō konpaku) ialah roh manusia yang telah dipertingkat sistem fisiologi manusia biasa untuk membolehkan mereka bertarung dengan hollow. Sebagai contoh, satu roh modifikasi boleh berlari beberapa kali lebih laju daripada manusia normal sementara roh modifikasi lain mempunyai kekuatan melampaui had manusia. Kon, satu roh modifikasi mempunyai kekuatan kaki. Roh modifikasi dimampatkan kepada pil sfera yang kecil dan diletakkan di dalam mayat untuk membolehkannya berfungsi sebagai tentera bagi berlawan dengan hollow. Tetapi, roh modifikasi terpaksa dihapuskan setelah eksperimen tersebut dibuktikan gagal (atas sebab-sebab etika moral). Dalam proses penghapusan tersebut, pil Kon telah bercampur-aduk dengan pil roh tiruan biasa dan dijual di Kedai Urahara. Rukia membeli dan membebaskannya dengan tidak sengaja. Walaupun berhadapan dengan arahan untuk menghapuskan semua roh modifikasi, Rukia dan Ichigo menyimpan Kon dan memberinya sebuah jasad patung mainan singa. Mereka berdua menggunakan Kon untuk mengawal tubuh Ichigo setelah rohnya dipaksa keluar daripada badannya untuk berlawan sebagai shinigami.

Pengubahsuaian memori

Dalam sesetengah situasi, seorang manusia menyaksikan shinigami menyucikan hollow atau mempengaruhi alam sekelilingnya melalui pelbagai cara. Untuk merahsiakan insiden tersebut, shinigami akan melakukan pengubahsuaian memori dengan satu item bernama kikanshinki yang menghasilkan kepulan asap dan kepala burung. Tetapi, memori baru yang diperoleh manusia tersebut adalah rawak dan sering kali berdasarkan sesuatu kejadian yang dipercayai olehnya. Sebagai contoh, keluarga Ichigo percaya bahawa sebuah lori merempuh masuk ke dalam rumah mereka setelah diubah ingatan. Inoue Orihime pula yang pandai berimaginasi percaya bahawa rumahnya diserang oleh seorang sumo yang mahir menggunakan senapang (seorang Penembak Yakuza dalam manga).

Telefon bimbit

Merupakan alat yang amat penting kepada shinigami yang bertugas di dunia manusia. Telefon bimbit ini berfungsi sebagai telefon biasa dan media komunikasi dengan Soul Society. Alat ini menerima informasi tentang masa dan lokasi sebenar hollow melalui pesanan teks ringkas. Hollow yang dibunuh oleh shinigami juga akan direkodkan dalam telefon bimbitnya dan digunakan sebagai mata wang (mengikut ganjaran yang ditawarkan ke atas setiap hollow).